Wednesday, June 26, 2013

 



Salam sejahtera pembaca sekalian, 

Semoga segala-segalanya di dalam perlindung-Nya. Kalau di ruangan yang lalu, saya telah berkongsi cerita mengenai kebun pisang yang sedang saya usahakan bersama seorang rakan kongsi, kali ini saya akan menulis mengenai satu tapak cadangan baru untuk tanaman pisang dan kelapa sawit.


Kisahnya bermula apabila seorang pemilik tanah yang juga merupakan sepupu saya yang bercadang untuk menggantikan tanaman sedia ada di kebun kelapa miliknya kepada tanaman kelapa sawit yang lebih menguntungkan. Satu cadangan lisan dikemukakan semasa pertemuan pertama yang berakhir dengan sedikit harapan untuk dipertimbangkan dengan syarat mendapat restu daripada suami pemilik tanah berkenaan.

Pertemuan susulan dirancang dan Alhamdulillah, jawapan yang diberikan memberangsangkan apabila tuan tanah pada dasarnya bersetuju dengan cadangan yang dikemukakan dalam pertemuan awal. Pemilik tanah bersetuju untuk melantik saya sebagai 'care taker' kebun seluas 1 ekar berkenaan termasuk tanggungjawab mengantikan tanaman sedia ada kepada tanaman kelapa sawit. Segala kos penyediaan kawasan, pembersihan, anak benih dan upah tanah anak benih kelapa sawit akan dikongsi bersama. Sebagai balasan, pemilik bersetuju untuk membenarkan pengusaha menanam tanaman pisang@ tanaman kontan yang bersesuaian sebagai tanaman selingan dicelah-celah anak benih kelapa sawit yang akan ditanam nanti. Selaku 'care taker' juga pengusaha berhak mendapat 50% daripada hasil jualan kelapa sawit apabila tanaman ini mengeluarkan hasilnya kelak.

Selepas persetujuan dimeterai, saya pun memulakan perancangan untuk mengusakan tanah berkenaan sepertimana diamanahkan.

Satu lawatan tapak bersama Wak Amat Tulus, Otai Excavator telah dibuat untuk mengenalpasti sempadan kawasan, skop kerja tanah yang perlu dilaksanakan dan terma-terma lain termasuk harga dan perkara-perkara lain. Harga yang dicaj tertakluk kepada bilangan pokok kelapa tua yang boleh dijual semula secara 'contra sales'. Setelah kami telah bersetuju dengan terma berkenaan, Wak Amat telah menetapkan tarikh dan tempoh untuk memulakan serta melangsaikan tugasan yang diamanahkan.

Walau bagaimanapun, sehingga tarikh 'post' ini ditulis.....tiada excavator, kapal korek, kapal cangkul, mahupun jentera yang sama spesis dengannya menjalankan tugas membersihkan tanah berkenaan. Yang ada hanyalah pohon-pohon kelapa tua, rambutan mandul, jambu dan lain-lain yang senantiasa menanti dengan setia ketibaan sang sangap berantai merentap dan merebahkan pautan lemah akar pohonan ini ke bumi. Kita berjumpa lagi di lain ruangan. Insya Allah.

Tanaman Cili Merah


Salam Sejahtera, Alhamdulillah hari ini saya berkesempatan untuk menulis di blog ini untuk tatapan pembaca sekalian. Kali ini saya akan berkongsi cerita berkenaan projek tanaman cili merah king kulai yang sedang saya usahakan bersama 2 orang rakan kongsi. Projek ini dimulakan pada bulan mac 2010 yang lalu di kawasan tanah yang sebelum ini kami tanam dengan tanaman jagung dan keledek oren.

Kerja-kerja memotong rumput, meracun dan membersih kawasan telah dilakukan oleh kami sendiri. Selepas itu, jentera pembajak memulakan tugas 'plowing' & rotor untuk mengoksigenkan semula lapisan tanah bahagian dalam serta meleraikan ikatan tanah agar pengudaraan dapat berjalan lancar. Kami juga terpaksa melevelkan semula permukaan tanah agar keadaan topografi tanah berkenaan mempunyai bacaan grid yang lebih selaras. Ini penting bagi mengurangkan risiko fenomena banjir terutama ketika hujan lebat berterusan diikuti air laut pasang besar. Kerja-kerja rotor halus dan membuat batas dilakukan menggunakan jentera khas. Kerja-kerja tanah telah dipantau dan diketuai oleh saudara Zuanda yang memiliki pengalaman luas dalam kerja-kerja penyediaan tanah sawah dan kebun.

Pada masa yang sama, kami memulakan kerja-kerja menyemai benih cili yang dibuat di atas tray semaian menggunakan tanah semaian import. Kerja-kerja menyemai benih diketuai oleh saudara Zaki yang mempunyai pengalaman luas dalam bidang semaian benih cili.

Setelah berpuas hati dengan keadaan tanah kami biarkan tanah berkenaan selama sebulan bagi menstabikan semula struktur tanah sebelum kerja-kerja memasang plastik sungkupan dilakukan. Seterusnya kerja-kerja membuat lubang pada permukaan plastik dilakukan sebelum aktiviti mengalihkan benih cili dapat dimulakan menggunakan khidmat tenaga kerja sambilan.

Sehingga post ini ditulis projek tanaman cili berkenaan adalah sepertimana di dalam gambar yang disertakan. Insya Allah saya akan berkongsi pengalaman berkaitan perkembangan cili berkenaan di ruangan lain.

Wednesday, April 17, 2013

Projek Tanaman Tembikai Wangi

Penanaman Tembikai wangi

Pada penghujung tahun 2012 yang lalu, penulis bersama rakan kongsi telah menjalankan Projek Penanaman Tembikai Wangi. Untuk permulaan, projek ini telah dilaksanakan di atas sebidang tanah seluas 1 ekar. Kerja-kerja pembersihan kawasan, penggemburan,rawatan tanah dan saliran perlu dibuat terlebih dahulu memandangkan spesis tanaman tembikai yang bakal ditanam adalah daripada jenis yang agak sensitif terhadap serangan penyakit, serangga dan keadaan cuaca.

Varian tembikai wangi yang kami tanam adalah dari jenis Signal yang mempunyai kadar kemanisan yang tinggi serta mempunyai kulit yang berwarna kuning cerah. Penetapan jenis tembikai dibuat setelah kami mendapatkan khidmat perundingan daripada pihak FAMA dan juga hasil kajiselidik kami sendiri berdasarkan kepada kehendak pasaran semasa. Biji benih tembikai berkualiti tinggi yang semestinya daripada jenis hybrid diimport dari Jepun kami perolehi daripada pembekal biji benih berdaftar iaitu Ninetop Trading Co. Sdn Bhd.







Monday, January 12, 2009

Fertigasi

Pengurusan tanaman adalah aspek paling penting menjamin kejayaan pengeluaran tanaman makanan khususnya penanaman secara fertigasi. Bakal pengusaha atau usahawan bidangusaha ini mesti mempunyai pengetahuan dan kemahiran yang cukup. Selain itu minat, kesungguhan dan inisiatif serta daya tahan diperlukan untuk menjayakan projek.Pengurusan tanaman meliputi semua kerja-kerja awalan seperti penyediaan media, semaian, mengubah ke ladang melatih pertumbuhan tanaman, kawalan perosak, mengawasi sistem pengairan dan saliran, kebersihan ladang, mendiagnosis masalah tanaman, pensterilan, pengagihan nutrien dan perkara berkaitan fisiologi tanaman.Matlamat pengurusan tanaman ialah pengeluaran konsisten dengan kualiti hasil yang tinggi pada tahap optima serta menguntungkan.Sekalipun dengan teknologi canggih dan terkini kesungguhan dan komitmen pengusaha sangat diperlukan untuk menjalankan pengurusan tanaman dan projek yang berdaya maju.
APA ITU FERTIGASI ?Fertigasi berasal daripada perkataan fertigation (fertilizer & irrigation). Fertigation pula adalah salah satu daripada komponen chemigation (chemical & irrigation). Kimigasi (chemigation) adalah satu kaedah terkini dimana penggunaan dan pengagihan bahan-bahan kimia dalam pengurusan tanaman dilakukan melalui sistem pengairan.Fertigasi boleh ditakrifkan sebagai satu kaedah penanaman di mana baja ( dalam bentuk larutan ) di agihkan ke zon perakaran tanaman melalui system pengairan. Kebanyakannyasistem pengairan yang digunakan untuk pengagihan baja ialah jenis titisan . Sistem pengairan renjis atau Iain-lain cenderung digunakan untuk pengagihan kimia-kimia lain seperti racun serangga, kulat, semburan hormon dan Iain-lain dalam teknik chemigation.Dua (2) asas utama fertigasi iaitu baja( dalam bentuk larutan ) dan sistem pengairan . Bekas tanaman dan jenis media adalah alternatif mengatasi masalah penanaman. Media bukan tanah (soiless culture) seperti pasir, arang dan habuk sabut digunakan bertujuan mengatasi masalah kesesuaian atau penyakit tanah. Media diisi di dalam bekas seperti polibeg atau pasu bersaiz tertentu untuk memenuhi keperluan ruang zon perakaran tanaman yang optima sesuatu tanaman.
Sebagai contoh, tanaman tembikai ditanam di atas batas tanah secara terbuka di ladang yang luas menggunakan sistem pengairan untuk pengagihan baja juga dinamakan fertigasi. Tanaman kobis ditanam di dalam polibeg berisi campuran tanah dan pasir diberi baja melalui sistem pengairan. Kaedah ini juga dikenali sebagai fertigasi.Fertigasi dipraktikkan sebagai satu kaedah altenatif . Penerimaan dan penggunaan kaedah ini masih rendah pada masa sekarang tetapi akan menjadi suatu kaedah yang amat diperlukan pada masa akan datang. Untuk mendapat faedah yang optima daripada kaedah ini, biasanya semua langkah awal diambil perhatian termasuk sifat media yang baik dan sesuai untuk jenis- jenis tanaman, jenis dan bekas tanaman, dan formulasi baja (nutrien) yang seimbang. Bekas tanaman diguna dan diletakkan tanpa mencecah tanah adalah sebagai langkah pencegahan merebaknya pathogen daripada tanah.Dalam situasi begini media tanaman bukan tanah (soiless culture) tidak mengandungi nutrien yang seimbang atau mencukupi untuk keperluan pertumbuhan pokok. Kaedah ini juga boleh dipanggil hidroponik beraggregat atau hidroponik titisan. Oleh itu, prestasi tanaman sangat dipengaruhi oleh kualiti nutien ( keseimbangan, kepekatan, Ph, kuantiti), mutu air dan input yang dibekalkan.
Secara ringkasnya kaedah penanaman secara fertigasi adalah kaedah moden yang praktikal, mengikut amalan pertanian yang baik, sentiasa di dalam kawalan menuju kea rah ‘precision farming’. Ini sangat penting dalam trasformasi teknologi pertanian masakini bagi membantu pengeluaran berterusan dan mendapatkan hasil yang berkualiti tinggi.

Pilot Project - Kulai King Red Chilli
















This project was initiated by En. Khairuzzaki Khairuddin and the blog's writer in early 2008. The objective of this project is to increase the yield of the existing 1 acre of abandoned vacant land located at Jalan Sekolah, Kg. Sg. Tengi Kanan, Tg. Karang, District of Kuala Selangor, Selangor.

Friday, January 9, 2009

Projek Tanaman Jagung Manis Taiwan Hybrid F1357






Projek ini telah dimulakan pada bulan September 2008 oleh penulis bersama 2 orang rakan kongsi iaitu Sdr. Zuanda Hambali dan Sdr. Mohd Khairulzaki Hairuddin. Lokasi penanaman jagung hybrid ini terletak kira-kira 2 km dari Bandar Tanjung Karang iaitu di Jalan Sri Tiram Jaya, Kg. Sg. Tengi Kanan, Mukim Tg. Karang, Daerah Kuala Selangor, Selangor. Jumlah keluasan kawasan penanaman jagung lebih kurang 2 ekar.

Oleh kerana kawasan tapak penanaman yang dicadangkan adalah tergolong dari jenis tanah liat yang asalnya merupakan kebun kelapa maka projek ini telah dimulakan dengan kerja-kerja merawat tanah iaitu dengan menabur sejenis baja organik "Ton Mai" yang diimport dari Thailand. Tujuan rawatan ini adalah untuk meneutralkan tanah sedia ada yang mempunyai kadar PH yang agak tinggi. Selain itu, baja berkenaan juga dikatakan mampu meningkatkan jumlah mikro organisma yang terdapat di dalam tanah berkenaan.









Kira-kira sebulan selepas baja berkenaan ditabur, kami telah memulakan kerja-kerja menanam biji benih jagung dengan menggunakan khidmat 4 orang pekerja sambilan bagi mempercepatkan proses penanaman jagung ini. Kerja-kerja penanaman jagung berkenaan mengambil masa selama sehari untuk disiapkan.





Pemantauan secara harian telah kami jalankan sebaik biji benih jagung mengeluarkan tunas agar tiada serangan unggas, ulat atau serangga perosak bagi memastikan pokok jagung ini sihat dan mengeluarkan hasil yang diharapkan. Pembajaan urea mula dilaksanakan seawal hari ke-15 jagung ini ditanam. Ini bagi memastikan anak-anak pokok jagung mendapat nutrien yang mencukupi untuk membesar secara sihat.





Sepanjang tempoh penanaman jagung hybrid ini, penulis bersama rakan kongsi telah menjalankan kerja-kerja penyemburan racun serangga perosak setiap minggu. Penyeburan racun berkenaan disertai dengan campuran baja siraman dari jenis TruGreen. Baja urea telah ditabur kali kedua apabila umur pokok jagung mencecah 30 hari bagi mengekalkan kesuburan pokok tersebut. Manakala baja NPK 15-15-15 yang berfungsi untuk meningkatkan hasil tanaman jagung telah ditabur tatkala pokok jagung mula berbunga.




Pengeluaran bunga jagung pastinya menarik perhatian serangga untuk datang dan membuat sarang di celah-celah daun dan buah jagung. Keadaan ini perlu dikawal dengan sebaik mungkin bagi mengelakkan serangan serangga dan ulat menjadi lebih serius. Berdasarkan pengalaman kami, serangan serangga akan bermula dari bahagian bunga jagung kemudiannya turun ke batang pokok jagung dan seterusnya menyelinap masuk ke bahagian jambul tongkol jagung. Serangan serangga dianggap serius sekiranya unggas berkenaan mula membuat sarang pada tongkol jagung.