Wednesday, June 26, 2013

 



Salam sejahtera pembaca sekalian, 

Semoga segala-segalanya di dalam perlindung-Nya. Kalau di ruangan yang lalu, saya telah berkongsi cerita mengenai kebun pisang yang sedang saya usahakan bersama seorang rakan kongsi, kali ini saya akan menulis mengenai satu tapak cadangan baru untuk tanaman pisang dan kelapa sawit.


Kisahnya bermula apabila seorang pemilik tanah yang juga merupakan sepupu saya yang bercadang untuk menggantikan tanaman sedia ada di kebun kelapa miliknya kepada tanaman kelapa sawit yang lebih menguntungkan. Satu cadangan lisan dikemukakan semasa pertemuan pertama yang berakhir dengan sedikit harapan untuk dipertimbangkan dengan syarat mendapat restu daripada suami pemilik tanah berkenaan.

Pertemuan susulan dirancang dan Alhamdulillah, jawapan yang diberikan memberangsangkan apabila tuan tanah pada dasarnya bersetuju dengan cadangan yang dikemukakan dalam pertemuan awal. Pemilik tanah bersetuju untuk melantik saya sebagai 'care taker' kebun seluas 1 ekar berkenaan termasuk tanggungjawab mengantikan tanaman sedia ada kepada tanaman kelapa sawit. Segala kos penyediaan kawasan, pembersihan, anak benih dan upah tanah anak benih kelapa sawit akan dikongsi bersama. Sebagai balasan, pemilik bersetuju untuk membenarkan pengusaha menanam tanaman pisang@ tanaman kontan yang bersesuaian sebagai tanaman selingan dicelah-celah anak benih kelapa sawit yang akan ditanam nanti. Selaku 'care taker' juga pengusaha berhak mendapat 50% daripada hasil jualan kelapa sawit apabila tanaman ini mengeluarkan hasilnya kelak.

Selepas persetujuan dimeterai, saya pun memulakan perancangan untuk mengusakan tanah berkenaan sepertimana diamanahkan.

Satu lawatan tapak bersama Wak Amat Tulus, Otai Excavator telah dibuat untuk mengenalpasti sempadan kawasan, skop kerja tanah yang perlu dilaksanakan dan terma-terma lain termasuk harga dan perkara-perkara lain. Harga yang dicaj tertakluk kepada bilangan pokok kelapa tua yang boleh dijual semula secara 'contra sales'. Setelah kami telah bersetuju dengan terma berkenaan, Wak Amat telah menetapkan tarikh dan tempoh untuk memulakan serta melangsaikan tugasan yang diamanahkan.

Walau bagaimanapun, sehingga tarikh 'post' ini ditulis.....tiada excavator, kapal korek, kapal cangkul, mahupun jentera yang sama spesis dengannya menjalankan tugas membersihkan tanah berkenaan. Yang ada hanyalah pohon-pohon kelapa tua, rambutan mandul, jambu dan lain-lain yang senantiasa menanti dengan setia ketibaan sang sangap berantai merentap dan merebahkan pautan lemah akar pohonan ini ke bumi. Kita berjumpa lagi di lain ruangan. Insya Allah.

Tanaman Cili Merah


Salam Sejahtera, Alhamdulillah hari ini saya berkesempatan untuk menulis di blog ini untuk tatapan pembaca sekalian. Kali ini saya akan berkongsi cerita berkenaan projek tanaman cili merah king kulai yang sedang saya usahakan bersama 2 orang rakan kongsi. Projek ini dimulakan pada bulan mac 2010 yang lalu di kawasan tanah yang sebelum ini kami tanam dengan tanaman jagung dan keledek oren.

Kerja-kerja memotong rumput, meracun dan membersih kawasan telah dilakukan oleh kami sendiri. Selepas itu, jentera pembajak memulakan tugas 'plowing' & rotor untuk mengoksigenkan semula lapisan tanah bahagian dalam serta meleraikan ikatan tanah agar pengudaraan dapat berjalan lancar. Kami juga terpaksa melevelkan semula permukaan tanah agar keadaan topografi tanah berkenaan mempunyai bacaan grid yang lebih selaras. Ini penting bagi mengurangkan risiko fenomena banjir terutama ketika hujan lebat berterusan diikuti air laut pasang besar. Kerja-kerja rotor halus dan membuat batas dilakukan menggunakan jentera khas. Kerja-kerja tanah telah dipantau dan diketuai oleh saudara Zuanda yang memiliki pengalaman luas dalam kerja-kerja penyediaan tanah sawah dan kebun.

Pada masa yang sama, kami memulakan kerja-kerja menyemai benih cili yang dibuat di atas tray semaian menggunakan tanah semaian import. Kerja-kerja menyemai benih diketuai oleh saudara Zaki yang mempunyai pengalaman luas dalam bidang semaian benih cili.

Setelah berpuas hati dengan keadaan tanah kami biarkan tanah berkenaan selama sebulan bagi menstabikan semula struktur tanah sebelum kerja-kerja memasang plastik sungkupan dilakukan. Seterusnya kerja-kerja membuat lubang pada permukaan plastik dilakukan sebelum aktiviti mengalihkan benih cili dapat dimulakan menggunakan khidmat tenaga kerja sambilan.

Sehingga post ini ditulis projek tanaman cili berkenaan adalah sepertimana di dalam gambar yang disertakan. Insya Allah saya akan berkongsi pengalaman berkaitan perkembangan cili berkenaan di ruangan lain.